KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melantik individu lain yang bebas, jujur dan adil dalam memastikan perjalanan pilihan raya benar-benar berlangsung di atas padang yang sama rata.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusoff dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan serta merta ekoran dakwaan bahawa kedua-dua mereka adalah ahli Umno.
Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor berkata, dakwaan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau mempunyai bukti kukuh kedua-duanya adalah ahli Umno serta tahu di mana cawangan keahlian mereka adalah suatu dakwaan yang amat berat.
“Dakwaan ini semestinya menjatuhkan kredibiliti SPR di mata rakyat malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, SPR akan menjadi sebuah badan yang tidak diyakini oleh semua pihak serta boleh mengikis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.
Beliau berkata, DPPM menganggap SPR tidak wajar diketuai oleh mereka yang menjadi ahli sebuah parti politik kerana ia boleh menimbulkan prejudis rakyat bahawa mereka akan berpihak.
“Sekalipun mungkin kedua-duanya mengaku akan menjalankan tanggung jawab mereka dengan adil tanpa mengira parti politik yang bertanding, namun hakikatnya mereka tidak mampu menangkis perasaan syak rakyat terhadap mereka,” ujarnya lagi.
Bagi DPPM, kata beliau pengendali SPR perlu bebas daripada unsur politik kepartian dan tidak boleh cenderung atau dilihat cenderung kepada mana-mana pihak.
“Mereka hanya boleh menganggotai parti politik setelah tamat perkhidmatan mereka.
“Ini bagi menjaga integriti SPR supaya mereka boleh dipercayai dan diyakini,” ujarnya.
Justeru, ujarnya DPPM amat bersetuju supaya semua pihak mendesak kedua-duanya meletak jawatan serta merta sebelum PRU13 berlangsung.
“Rakyat tidak mahu mengharungi episod pilihan raya dalam keadaan sistem pilihan raya diragui manakala pengendalinya dicurigai,” katanya.



